Boucing Multi-Colored Bow Tie Ribbon -->

Saturday, 23 April 2011

Kisah syahdu di sebuah masjid..

Pada suatu hari, hatiku tergerak untuk pergi menunaikan solat Maghrib & Isyak secara berjemaah di masjid. Ni semua sebab aku rasa iman aku ni semakin tipis, mungkin lebih tipis daripada kulit bawang. Jadi, niatku pergi ke masjid ni cuma satu, mendengar ceramah agama selepas solat Maghrib tu. Sebabnya aku tau, hati aku ni sangat sensitip. Kalau mendengar ceramah2 sedemikian, hatiku akan cair dan aku berharap aku akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Jadi, aku pun memandu ke masjid yang jaraknya agak jauh dari rumah aku. Tapi, sebab ada kreta, agak mudahlah kan. Semasa memandu, ku terdengar azan berkumandang, mungkin dilaungkan oleh bilal dari surau2 yang berdekatan. Sebenarnya aku boleh ja pergi surau yang terdekat. Tapi, entahla, aku telah membulatkan hati tuk pergi ke masjid tu. 

Sesampainya aku di masjid, aku parking kereta, then, aku hairan. Alamak, kenapa hanya kereta aku sahaja. Tempat parking kereta tu kosong. Hanya aku saja. Hati aku berdetik "Mungkin masjid tutup kot.." (aku rasa ni bisikan syaitan). Lepas tu, hatiku menjerit2 menyuruh aku menukar gear reverse dan terus balik rumah (mungkin ini pun pujuk rayu syaitan juga). Aku hampir2 terpedaya dan nak reverse, tiba2 ku terlihat ada 2 @ 3 buah motorsikal yang tengah parking nun jauh di sana. Ooh.. ada orang rupanya. Aku membatalkan niat dan terus mematikan enjin keretaku. Tanpa berlengah lagi, aku terus masuk ke dalam masjid. Sempat jugak ku intai di ruangan jemaah lelaki, ku lihat ada 3 @ 4 orang tengah menunaikan solat sunat. Fuh,, lega.. ada jugak orang.

Aku pergi ke tempat jemaah perempuan. Ku lihat kiri.. ku lihat kanan.. alamak lagi.. aku sorang ja. Takpa. Mungkin tak lama lagi akan ada jemaah lain yang datang. Aku cuba memujuk hati sendiri. Aku pun menunaikan solat sunat sebelum bilal melaungkan iqamah. Selepas solat sunat, aku duduk.. tengok kiri.. tengok kanan.. Kemudian, iqamah kedengaran. Hatiku mula gusar memikirkan tiada jemaah perempuan yang lain. Aku berharap ada la yang muncul. Aku bukannya takut solat sendirian, tapi aku menjangkakan akan adanya jemaah perempuan walaupun bilangannya mungkin sedikit. Aku kesiankan masjid nih. Semasa bulan ramadhan, ia sentiasa dikunjungi. Tak kira siang dan malam. Bulan2 yang lain pulak, sunyi sepi.

Tiba-tiba aku berasa sebak. Sebab aku pun tergolong dalam kumpulan itu. Mengunjungi masjid pada bulan ramadhan sahaja. Memikirkan aku telah melupakan masjid selain dalam bulan ramadhan, sebakku makin menjadi2. Tiba2 air mataku tumpah. Aku menangis semahu-mahunya. Air mata memang tidak dapat di tahan lagi. Aku berasa sangat bodoh dan jahil. Tatkala imam menyuruh jemaah merapatkan shaf, aku bangun dengan lemah. Sepanjang solat maghrib itu, aku menangis. Tidak pernah sekali pun aku begitu beremosi ketika solat. Aku takut dengan azab Allah SWT. Aku malu dengan Nabi Muhammad SAW. Begitupun Nabi begitu memuliakan umatnya, tapi aku??!! aku hanyut dengan kesibukan duniawi. Menunaikan solat sendiri yang khusyuknya entah ada atau tiada. Aku berterusan menangis. Memohon keampunan daripada Allah SWT. Berdoa denganNya supaya aku yang hina ini diampuniNya. Aku berharap akan adanya jemaah lain yang akan solat bersama dengan aku. Seorang pun jadilah. "Ya Allah, Engkau berikanlah aku saudara walaupun seorang untuk bersama-sama solat berjemaah, supaya hatiku lebih senang kerana ada juga hambaMu yang mengunjungi rumahMu ini selain aku". Itu lah yang aku ulangi di dalam hati. Tatkala ku rukuk, air mata bercucuran jatuh. Pabila ku sujud pula, air mataku mebasahi sejadah. Begitulah keadaannya sehinggalah imam melafazkan salam. Semasa Imam berzikir dan membacakan doa, aku masih tetap dengan doaku agar dikurniakan saudara untuk solat berjemaah. Tapi hampa.. tiada juga saudara yang ditunggu.

Selepas itu, imam memberi ceramah mengenai golongan umat Nabi yang memasuki syurga. Aku mendengar dengan tekun. Banyak jugak ilmu yang ku dapat. Pada masa ini, air mataku sudah kering. Aku pasrah dengan segala ketentuan Allah SWT. Kalaupun aku ditakdirkan untuk berseorangan ketika itu, aku pasrah.

Tidak lama kemudian, aku terdengar bunyi pintu dibuka. Lantas ku menoleh, Ya Allah!! Maha Suci Engkau Ya Allah!! Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Doa hambamu yang hina ini pun Engkau kabulkan. Ku lihat ada seorang gadis muda dengan telekungnya masuk dan duduk agak jauh dari aku. Aku tidak putus2 memanjatkan kesyukuran. Air mataku mau keluar lagi tapi ku tahan. Aku sangat gembira sebenarnya. Tidak putus2 senyuman di bibirku. Doaku dimakbulkan juga. Ku lihat gadis tu menunaikan solat Maghrib. Kemudian, bersama2 tekun mendengar ceramah agama. Pabila masuk waktunya, azan Isyak berkumandang. Sungguh merdu laungannya. Cukup syahdu hingga dapat meruntun jiwa sesiapa yang mendengarnya. Mau jugak ku tengok si bilalnya, tapi, takpala... lain kalila..

Aku tidak menunggu saudaraku itu datang rapat kepada ku. Aku yang mengangkat sejadah dan letak di sebelahnya. Aku senyum. Dia pun senyum. Kami menunaikan solat jemaah bersama2. Aku berasa sangat tenteram. Memang lain daripada menunaikan solat sendirian di rumah. Selepas habis solat, sempat jugak kami berbual sekejap. Rupa2nya dia dari bandar, singgah sebentar kat masjid untuk solat. Hm.. apa-apa pun aku sangat bersyukur dengan semua kurniaanNya. Tatkala ku pergi ke tempat parking kreta, hatiku berbunga lagi. Ku lihat ncik city da ada kawan kat kiri dan kanan. Aku tersenyum dan bersyukur kepada Allah SWT. Aku memandu kereta pulang dengan gembira. Dan aku berazam selepas ini, aku akan lebih kerap mengunjungi masjid. Azam aku yang tertinggi pulak ada satu; menunaikan solat subuh secara berjemaah di masjid. Sebab aku rasa, kalau waktu orang jaga pun tak ramai yang pergi masjid, inikan pula waktu subuh. Jadi, aku tanamkan azam nih, InsyaAllah..... ^_^

No comments:

Post a Comment